Panas : Punca kEMATIAN MENGEJUT KETIKA BERSUKAN



SUDDEN death - jargon bagi tendangan bola sepak yang dijaringkan dalam masa tambahan setelah kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri apabila permainan masa sebenar tamat. Siapa masuk dulu, dia menang.
Bagi sesetengah peminat bola sepak, tendangan gol yang membawa kemenangan itu lebih dikenali sebagai sudden victory dan bukannya sudden death bagi membayangi makna `kematian' (death).
Sebaliknya, di bidang perubatan, sudden death atau lebih dikenali sebagai sindrom kematian mengejut (SDS), tiada ampunnya.
Bayangkan. Individu yang mengalami SDS atau secara tidak rasminya turut dipanggil sindrom kematian mengejut di kalangan orang dewasa (SADS), gemar meragut nyawa khalayak yang muda belia, sekitar umur 30-an.
Ironinya, mereka mempunyai tubuh badan yang sihat serta mengamalkan gaya hidup yang juga sihat seperti gemar bersukan dan tidak merokok.
Mangsa rebah menyembah bumi tanpa sebarang amaran dengan peluang yang tipis untuk diselamatkan. Langsung tiada penjelasan kenapa ia berlaku.
Satu dalam 20 kes SDS, tidak pernah diketahui punca penyebabnya walaupun selepas postmortem ke atas mayat mangsa.
``SDS sebenarnya digunakan untuk berbagai-bagai punca yang menyebabkan kematian mengejut di kalangan orang dewasa.
``Ia berpunca daripada jantung dan tidak disebabkan oleh sebarang kecederaan atau kemalangan,'' kata Pakar Perunding Perubatan, Jabatan Perubatan, Hospital Kuala Terengganu, Terengganu, Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh.
Menurutnya, masalah jantung - kardiomiopati, aritmia, masalah sejak lahir, miokarditis, penyakit tisu sambungan, injap jantung - adalah punca utama SDS yang boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur.
Sesetengah daripadanya boleh dikesan awal manakala sesetengahnya lagi tidak menunjukkan sebarang tanda dan boleh menyebabkan SDS.
Boleh dikatakan setiap organ dalaman manusia boleh mengalami masalah yang mengakibatkan kematian mengejut.
Bagaimanapun, jelasnya, istilah SDS selalunya merujuk kepada kematian mengejut yang berpunca daripada jantung.
Mengulas lanjut, apabila seseorang melakukan sebarang aktiviti fizikal termasuk bersukan, jantung akan berdenyut dengan lebih cepat.
Ia akan bekerja dengan lebih kuat bagi membekalkan lebih banyak oksigen ke otot-otot dan organ-organ dalaman yang lain.
``Sekiranya seseorang itu sedia mempunyai masalah jantung, mereka akan lebih berisiko untuk mendapat masalah semasa bersukan.
``Bersukan tidak menyebabkan SDS tetapi ia boleh mencetuskan SDS sekiranya seseorang itu telah mempunyai masalah kesihatan yang tidak dikesan sebelum itu,'' katanya.
Dr. Ahmad Shukri berkata, adalah sukar untuk menjangkakan seseorang yang muda dan sihat tetapi berisiko untuk mendapat SDS.
Kebanyakan kematian mengejut golongan muda berpunca daripada masalah otot-otot jantung abnormal dan irama jantung yang tidak normal.
``Denyutan jantung sepatutnya perlu seragam dan pengaliran darah di dalam organ jantung hendaklah lancar.
``Aliran darah di dalam organ jantung akan mengepam darah ke seluruh organ dalaman manakala aliran darah koronari yang terletak di permukaan jantung, membekalkan oksigen kepada organ jantung,'' katanya.
Selain faktor ubat-ubatan tertentu, termasuk pengambilannya dalam dos yang berlebihan dikatakan menjadi antara punca SDS.

Terdapat dua punca utama SDS yang bersumber dari masalah jantung iaitu kardiomiopati, gangguan kronik yang melibatkan otot-otot jantung yang berlaku tanpa diketahui punca sebenarnya.
Namun, ia ada kaitannya dengan faktor genetik dan terbahagi kepada tiga iaitu:
l Hyperthropic Cardiomyopathy (HCM), ketebalan otot-otot pada dinding ventrikel yang mengganggu aliran darah keluar dari jantung.
Jantung gagal untuk berehat semasa proses penerimaan darah, seterusnya mengganggu perjalanan keluar darah dari jantung ke organ-organ lain termasuk ke saluran darah koronari.
Denyutan jantung yang tidak seragam pula akan menjadikan pengaliran darah di dalam jantung tidak teratur dan kurang berkesan.
l Dilated Cardiomyopathy (pembengkakan jantung)
l Restrictive Cardiomyopathy, di mana jantung tersekat mengakibatkan pengaliran darah ke jantung tersekat.
Sementara itu, punca besar kedua SDS adalah aritmia iaitu irama jantung yang tidak seragam.

Gejala-gejala SDS
* Susah bernafas (nafas tercungap-cungap)
* Sakit dada, kebiasaannya berlaku ketika melakukan aktiviti fizikal
* Berdebar-debar, jantung laju dan tidak seragam
* Sakit kepala
* Pitam.
Jika anda mengalami salah satu daripada gejala-gejala di atas, tidak bermakna anda mengalami SDS.
Bagaimanapun, doktor mungkin menyarankan anda menjalani beberapa ujian dan merujuk anda kepada pakar jantung.
Siapakah yang berisiko tinggi?
Tidak seperti penyakit jantung koronari, pesakit yang mengalami SDS tidak dikenal pasti risikonya.
SDS boleh berlaku secara tiba-tiba tetapi ia dapat dielakkan sekiranya pemeriksaan awal seperti imbasan dapat dilakukan bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga dengan sejarah SDS.
Ramai yang tidak menyedari mereka mempunyai SDS sehinggalah ahli keluarga yang lain mendapat serangannya.
Peluangnya boleh dikatakan 50-50 untuk diwarisi.
Bagi mereka yang sedia mempunyai gejala-gejalanya, elok mendapatkan nasihat dan pemeriksaan doktor sebelum mengambil bahagian di dalam sukan aktif.
Keadaan ini bagaimanapun, pada dasarnya tidak akan mengganggu gaya hidup mereka dengan ketara dan boleh dikawal dengan ubat-ubatan.
* Melakukan pemeriksaan kesihatan tahunan.
Keseriusan penyakit adalah berbeza-beza antara seseorang dengan yang lain.
Malah, sekalipun anda didiagnos dengan HCM, anda tidak semestinya menunjukkan apa-apa gejala dan boleh meneruskan hidup dengan normal.
Rawatan
* CPR, rawatan segera menstabilkan jantung
* Rawatan antiaritmia
* Pembedahan dinding jantung dilakukan bagi masalah HCM
* Pemindahan jantung juga boleh dilakukan bagi kes-kes tertentu
* Rawatan simptomatik misalnya, memberikan ubat diuretik bagi pesakit yang mengalami kegagalan jantung.

sumber :  Utusan Melayu (M) Bhd 13 mei 2005

Categories: